Tumbuh melata pohonan siantan,
Subur hidupnya sisian cemara,
Assalamualaikum saya ucapkan,
Lafaz mulia pembuka bicara.
Sebelum saya memulakan bicara saya ingin memperkenalkan diri saya terlebih dahulu. Nama yang indah diberi kepada saya oleh ibu bapa saya iaitu Muhammad Afiq Syamim Bin Rafpi . Saya merupakan pelajar yang berumur 16 tahun dan bersekolah di SMK Lepar Hilir Sebelum saya tersimpang jauh dari tajuk kita izinkan saya memulakan perbicaraan tentang 'Kepentingan Mematuhi Papan Tanda Jalan Raya'.
Papan tanda amat penting sebagai petunjuk arah, terutama kepada pengguna jalan raya.
Ia memudahkan mereka menuju destinasi tanpa perlu bertanya arah daripada orang ramai atau berhenti di tepi jalan yang mungkin akan membahayakan nyawa. Di mana saja kita pergi, terutama di kawasan bandar, kita dapat melihat banyak tanda pelbagai saiz, warna dan bentuk.Jika papan tanda tidak dijaga dengan baik pencarian destinasi pasti terganggu jika papan tanda yang sepatutnya memberi maklumat penting, rosak atau tidak dijaga dengan baik sehingga sukar dibaca.Berikutan itu, ia memberi masalah kepada orang ramai, terutama mereka yang tidak biasa dengan laluan di bandar itu untuk ke destinasi masing-masing.
Sejak kita ambil lesen memandu lagi kita diajar dan diberi tahu tentang penggunaan papan tanda di jalan raya. Namun, sikap masyarakat yang suka mengambil mudah tentang perkara ini. Pada era globalisasi ini, kemalangan di jalan semakin meningkat. Antara punca utamanya ialah sikap pemandu atau penunggang yang melanggar papan tanda bagi kepentingan sendiri.Papan tanda selalunya terletak di kawasan yang tertentu seperti di kawasan hadapan sekolah, kawasan-kawasan VIP dan banyak lagi. Terdapat banyak papan tanda yang terdapat di sini seperti papan tanda lampu isyarat, dilarang membunyikan hon, lintasan belang dan banyak lagi. Bagi pihak ibu bapa, mereka perlu mendidik anak-anak tentang penggunaan papan tanda bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.
Papan Tanda Hormati Pejalan Kaki
"HORMATI pejalan kaki." Jika kita memandu di ibu negeri Pahang, Kuantan, kita pasti akan mudah melihat papan tanda yang tertera peringatan itu. Jika ia merujuk kandungan papan tanda itu, sudah tentu pihak yang diminta menghormati pejalan kaki ialah pengguna jalan raya lain. Penunggang motosikal, pengayuh basikal, pemandu bas, lori, van, kereta, teksi, pikap atau pemandu kenderaan pacuan empat roda sudah tentu sasaran papan tanda tersebut.
Apa pun, jalan raya adalah kemudahan awam untuk semua sama ada kita menggunakan apa juga kenderaan ataupun sekadar berjalan kaki; semuanya berhak menggunakannya. Namun, kita sering terserempak dengan pelbagai gelagat pengguna jalan raya yang tidak mencerminkan pelaku berkenaan benar-benar memahami peraturan jalan raya atau setidak-tidaknya si pelaku adalah orang Malaysia yang sering mengaitkan diri dengan amalan budaya Timur yang penuh sopan santun.
Contoh, Seorang pejalan kaki mahu menyeberangi jalan di lintasan pejalan kaki. Sebelah kakinya sudah pun di atas jalan tetapi ada lagi motosikal, kereta yang terus bergerak tanpa rasa bertanggungjawab untuk memberi laluan. Pejalan kaki terpaksa berundur! Sukar sangat kita memberi laluan kepada pejalan kaki; itu bukan diajar oleh sekolah memandu sebelum kita memperoleh lesen memandu daripada JPJ. Itu juga bukan budaya Timur yang kononnya kita banggakan.
Contoh diatas sudah cukup untuk kita sama-sama menyemak semula cara kita atau tabiat kita semasa berada di jalan raya yang sebenarnya menjadi hak semua. Semua orang ada hak menggunakan jalan raya. Cara kita menggunakan hak kita dan pada masa yang sama memberi ruang kepada orang lain menggunakan hak mereka, mencerminkan keperibadian kita.
Terdapat pandangan bahawa orang kita akan berubah sikap dan nilai sebaik sahaja melangkah masuk ke kereta. Apabila berada di dalam kereta, kita seolah-olah bertukar menjadi orang lain dengan sikap dan tabiat yang berbeza berbanding ketika kita berada di luar kereta atau kenderaan. Mungkin apabila kita memasuki kereta sendiri, secara psikologi kita menganggap itu hak mutlak kita dan kitalah yang 'berkuasa' sepenuhnya. Kita menguasai sepenuhnya ruang dalam kereta itu tanpa menyedari dalam menggunakan hak itu, kita masih berkongsi jalan dengan orang lain.
KeegoanApa pun, yang pasti, sikap keegoan dan pentingkan diri sendiri masih menebal dalam sesetengah daripada kita ketika berada di jalan raya. Mungkin atas faktor itu, maka pihak berkuasa terpaksa meletakkan papan-papan tanda mengingati supaya memberi perhatian kepada pejalan kaki seperti yang dilakukan di bandar Kuantan. Mungkin, bertolak dari asas yang sama, pihak berkuasa terpaksa meletakkan peringatan 'Perangkap laju di hadapan. Anda sedang diperhatikan' di lokasi-lokasi tertentu di lebuh raya. Begitu juga dengan lukisan pegawai trafik PDRM dengan kamera perangkap had laju yang di letakkan bersandar di sejumlah tiang jejantas atau jambatan lebuh raya.
Memang, semuanya itu berniat baik iaitu memperingati semua pengguna lebuh raya supaya sentiasa berhemah. Namun, dari satu aspek lain, apakah pemandu kita hanya perlu berdisiplin apabila ada penguatkuasaan. Kita sebenarnya tidak boleh membentuk sikap pemandu semata-mata berasaskan kepada pendekatan sedemikian. Jika itu terjadi, kita kelak akan menyaksikan wujud budaya takut - berdisiplin apabila terdapat penguatkuasa yang mengawasi! Seperti juga kaedah pihak berkuasa tempatan (PBT) menaikkan papan tanda 'melarang membuang sampah di sini, denda RM500' di lokasi kegemaran penduduk membuang sampah sembarangan seperti di tepi jalan tertentu, tidak akan ada kesudahan. Ini kerana penduduk yang mempunyai tabiat sedemikian akan memilih pula lokasi lain yang mudah, kalaupun mereka mematuhi papan tanda peringatan yang dinaikkan di kawasan yang biasa mereka melonggokkan sampah. Apakah akhirnya PBT akan menaikkan papan tanda serupa di banyak tempat sehingga ia kelihatan bulan lagi langkah praktikal?
Oleh itu penggunaan papan tanda sedemikian di jalan raya atau lebuh raya diharap diterima pakai sekadar usaha tambahan ke arah menyedarkan pengguna jalan raya supaya sentiasa tertib. Kesedaran tentang peraturan lalu lintas dan ketertiban di jalan raya perlu berlaku tanpa paksaan pihak penguatkuasa. Ia perlu berlaku dalam keadaan semula jadi, dengan penuh kesedaran pemandu.
Penguatkuasaan undang-undang lalu lintas oleh PDRM mahupun JPJ, perlu dilihat lebih sebagai kaedah pemantauan tahap pematuhan undang-undang dan peraturan lalu lintas dari semasa ke semasa. Maka, pesalah lalu lintas yang dicekup dikenakan penalti. Sungguhpun begitu tidak dinafikan kaedah itu turut menyumbang kepada pengukuhan disiplin pengguna jalan raya.
Usaha mendidik pengguna jalan raya, dan yang lebih pen ting bakal pengguna jalan raya, perlu menjadi agenda lebih penting. Jangan cemari keamanan dan kebebasan negara kita dengan membiarkan 'pembunuhan' berterusan di jalan raya kita. Jadilah rakyat yang benar-benar merdeka supaya anak cucu kita lebih merasai kenikmatan sebuah negara yang merdeka. Kita perlu berubah!
Papan Tanda Nasihat Di Jalan Raya Utama

papan tanda yang dipasang adalah berunsur nasihat dan juga teguran bagi memberi kesedaran kepada penguna jalan raya yang gemar membuang sampah di luar kenderaan.
Ketika pengguna memberhentikan kenderaan mereka ada kesempatan membaca nasihat di papan tanda itu dan secara automatik mereka akan rasa bersalah atau malu untuk membuang sampah dari dalam kenderaan.
Secara tidak langsung, ia mendidik pemikiran pengguna kenderaan supaya bersopan santun dengan tidak membuang sampah merata-rata walaupun ia sekadar tisu, botol mineral, puntung rokok, dan sebagainya yang akhirnya boleh menyumbang kepada masalah pencemaran alam sekitar''.